Thursday 26 February 2009

Ringgit terus rendah

KUALA LUMPUR 25 Feb - Ringgit mengakhiri dagangan pada paras lebih rendah berbanding dolar AS hari ini menjelang pengumuman data-data keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku keempat 2008, Jumaat ini, kata peniaga.

Pada pukul 5 petang, ringgit turun sedikit berbanding mata wang Amerika itu pada 3.6650/6700 daripada 3.6610/6660 semalam.

"Pelabur masih berhati-hati terhadap kelembapan ekonomi dan kebanyakan mereka memilih untuk berada di luar pasaran sementara menunggu pengumuman KDNK dan sama ada ramalan pertumbuhan 3.5 yang dibuat dahulu akan disemak semula," kata seorang peniaga.

Beliau berkata keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman sebanyak 50 mata asas lagi kepada 2.0 peratus semalam juga sedikit sebanyak melemahkan sentimen pasaran.

Dalam sesi dagangan lewat hari ini, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain. Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 2.3998/3053 berbanding 2.3950/3992 pada penutupan semalam, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7795/7851 daripada 3.8395/8435 semalam.

Unit tempatan itu lebih rendah berbanding euro pada 4.7117/7193 daripada 4.6678/6727 semalam dan turun berbanding pound sterling kepada 5.3414/3498 daripda 5.3117/3172 sebelumnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment