Friday 30 January 2009

Pertandingan bangunkan lif angkasa

0 comments


AKTIVITI Cabaran Pelancaran Kuasa pada prototaip lif angkasa adalah bertujuan untuk meningkatkan pengaruh dan persepsi positif umum terhadap kekuatan serta keunikan sistem tersebut.

Dengan menyertainya pertandingan yang di anjurkan oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) itu, setiap individu berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan teknologi pelancaran kuasa.

Menerusi cabaran tersebut, peserta akan dibekalkan dengan trek perlumbaan secara menegak untuk membolehkan pasukan yang bertanding menggerakkan prototaip lif angkasa mereka menggunakan transformasi kuasa pada kabel bermula dari permukaan tanah.

Untuk membolehkan pelancaran dilakukan, berat lif berkenaan mestilah tidak melebihi 50 kilogram (kg) selain kelajuan pendakian berada pada minimum dua meter per saat dengan berat muatan sebanyak mungkin.

Pertandingan tersebut akan diadili berdasarkan kelajuan yang didarabkan dengan berat muatan yang dibawa kemudiannya dibahagikan dengan berat asalnya.

Dari segi kuasanya, ia bergantung kepada keupayaan peserta untuk membina ketumpatan kuasa pada mesin masing-masing berdasarkan spesifikasi yang komprehensif.

Untuk ciri keselamatan pula, aplikasi mesin automatik adalah berbahaya kerana sejak tahun 2007, operasi seperti menggunakan laser boleh membawa risiko kecederaan.

Sebenarnya, dalam sesuatu pertandingan, ciri-ciri keselamatan perlu ditekankan terutama pada spesifikasi mesin.

Di tapak program tersebut , pihak penganjur akan memastikan ia mampu menyokong cabaran sehingga jarak satu kilometer (km).

Sementara itu, sebuah konsortium yang menggabungkan beberapa peneraju dalam pembangunan konsep lif angkasa telah dibentuk dinamakan Konsortium Lif Angkasa Antarabangsa (ISEC).

Kumpulan bebas ini bermatlamatkan untuk mempromosi dan menggerakkan penyelidikan berkaitan pembangunan lif angkasa pada tahap global.

Ahli pengasas gabungan konsortium tersebut Spaceward Foundation, Space Elevator Reference, Blog Lif Angkasa , EuroSpaceward dan Persatuan Lif Angkasa Jepun.

Kumpulan tersebut diketuai oleh Ted Semon dari Blog Lif Angkasa yang menyandang jawatan sebagai presiden.

Semon berkata, sudah sampai masanya projek lif angkasa itu digerakkan.

''Dengan cabaran ekonomi global pada hari ini, kita memerlukan idea dan industri baru bagi menghadapi pada abad ke- 21,'' katanya.

Industri itu boleh menjadi penggerak , dalam penemuan sains bahan nanoteknologi yang menjadikan kenderaan lebih kukuh dan ringan kepada industri baru yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dan pelaburan.

Antara matlamat ISEC iaitu mempromosi pembangunan dan pembinaan dan operasi

lif angkasa sebagai pengangkutan berkesan ke angkasa untuk semua manusia.

Ia akan memfokuskan kepada:

l Pembangunan pelan dan peta kerangka serta menyelaras kajian berkaitan.

l Menyalurkan dana untuk penyelidikan teknologi berkaitan

l Pembangunan rangka kerja undang-undang antarabangsa untuk lif angkasa beroperasi

l Sebagai penggerak dan pusat pertukaran maklumat berkaitan aktiviti lif angkasa.

Konsortium beribu pejabat di Los Angeles , Amerika Syarikat (AS), bandar raya yang menjadi pusat industri angkasa lepas.

Tibi dan HIV

0 comments


EPIDEMIK AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) telah memberi impak yang mendalam kepada penyakit tibi (tuberkulosis).

Kurang daya tahan yang disebabkan oleh jangkitan HIV telah mengakibatkan penyakit tibi bertambah secara mendadak di negara-negara yang sedang membangun.

Negara-negara maju juga tidak terlepas dari kesan ini. Jangkitan virus HIV telah menukar perjalanan klinikal penyakit tibi, seterusnya menyukarkan dan merumitkan lagi diagnosis dan rawatan penyakit tersebut.

Di negara-negara sedang membangun, kes tibi-HIV dikaitkan dengan masalah nutrisi (malnutrisi) , ketiadaan pekerjaan, penagihan dadah, ketagihan alkohol, kemiskinan dan tiada tempat berlindung.

Di Asia Tenggara sahaja, 40 peratus daripada kira-kira enam juta kes pesakit HIV membawa jangkitan tibi.

Impak HIV kepada tibi dan masyarakat

Risiko untuk mendapat penyakit tibi adalah 60 peratus bagi seseorang yang telah dijangkiti HIV. Untuk seseorang yang sihat, risikonya hanya 10 peratus untuk sepanjang hayat.

Seawal 30 April 1991, sebanyak 179,661 kes AIDS telah dilaporkan di Amerika Syarikat, dan jumlah kes bertambah dengan pesat dari masa ke semasa.

Terdapat 54,000 kes dilaporkan dalam masa 54 bulan pertama epidemik AIDS. Pada 1991, Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan 1 juta penduduk dijangkiti HIV di Amerika Syarikat dan sekurang-kurangnya 10 juta kes jangkitan HIV di seluruh dunia.

Potensi impak global HIV ke atas tibi adalah amat mengejutkan. Sebelum epidemik AIDS, terdapat lebih daripada tujuh juta kes tibi dengan lebih 2.5 juta kematian akibatnya setiap tahun.

Kelompok jangkitan epidemik AIDS dan kadar jangkitan tibi di negara-negara miskin yang sedang membangun memberi implikasi dan impak sosial dan perubatan yang sangat buruk.

Dalam tahun 1992, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan empat juta penduduk dijangkiti oleh kedua-dua tibi dan HIV, di mana 95 peratus adalah di kalangan penduduk negara yang sedang membangun.

Virus HIV melemahkan sistem daya tahan dan boleh mengaktifkan semula jangkitan tibi laten (terpendam).

Kurang daya tahan yang disebabkan oleh virus HIV berpunca daripada tindakan virus itu menyerang sel darah putih atau lebih tepat lagi sel-sel CD4 yang amat penting dalam pertahanan badan bagi melawan penyakit berjangkit seperti tibi.

Bagi seseorang yang sihat, jumlah sel CD4 di dalam badannya melebihi 1,000 sel. Dengan jangkitan virus HIV, jumlah sel CD4 akan menurun, dan apabila ini berlaku, seseorang itu lebih mudah terdedah kepada jangkitan oportunistik.

Jangkitan oportunistik adalah jangkitan yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan mekanisme pertahanan badan.

Apabila jumlah sel CD4 menurun kepada antara 250 hingga 350, pesakit akan mendapat tibi jika terdedah kepada kuman tibi.

Gejala tibi-HIV

Berikut merupakan beberapa gejala klinikal yang menunjukkan seseorang pesakit tibi mungkin mempunyai virus HIV.

* Sejarah kesihatan. Jika seseorang pernah mengalami salah satu daripada penyakit di bawah:

- Jangkitan yang tersebar secara seksual (Sexually Transmitted Infection)

- Kayap

- Radang paru-paru yang kerap dan berulang kali

- Jangkitan bakteria yang sangat teruk

- Penyakit tibi yang baru di rawat

* Jika seseorang mengalami simptom berikut:

- Penurunan berat badan (lebih dari 10 kg atau lebih daripada 20 peratus)

- Cirit-birit (lebih dari sebulan)

- Sakit semasa menelan terutama di bahagian dada

- Kaki berasa hangat pijau

* Jika seseorang dikesan mempunyai tanda-tanda berikut:

- Parut kayap

- Kulit gatal dan mempunyai ruam

- Sarkoma Kaposi

- Kelenjar-kelenjar yang membengkak di seluruh badan

- Kandidiasis oral

- Angulai chelitis

- Oral hairy leukoplakia

- Radang gusi necrotising

- Pecah di mulut yang besar (Giant aphthous ulceration)

- Ulser di kemaluan yang berpanjangan dan sakit

* Jangkitan bersama tibi-HIV boleh menunjukkan perkara-perkara seperti berikut:

a) Tibi Pulmonari pada seseorang pesakit HIV di peringkat awal.

Oleh kerana pesakit berada di tahap yang awal, kuman HIV belum menyerang banyak sel CD4. Oleh itu, daya tahan pesakit boleh dikatakan masih baik.

Pada peringkat ini, perubahan imbasan sinar-X dada tidak banyak beza jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai system daya tahan yang baik iaitu:

- Kesan kerosakan di bahagian atas paru-paru dan paru-paru berlubang di bahagian atas

- Kahak dengan kuman tibi (selalunya positif)

- Ujian kulit tuberculin (mantoux) positif

- Tibi ekstrapulmonari jarang berlaku

b) Tibi Pulmonari pada seseorang pesakit HIV di peringkat lewat.

Sel-sel CD4 makin berkurangan dan ada yang mencecah satu angka sahaja seperti 4 hingga 9 sel (normal lebih dari 1000).

Maka, seseorang pesakit HIV pada tahap ini tidak boleh melawan jangkitan kuman, walaupun jangkitan biasa, menyebabkan jangkitan yang teruk berlaku seperti:

- Tibi di bahagian kelenjar

- Selaput paru-paru berair, tibi miliari atau kerosakan di seluruh paru-paru

- Kahak dengan kuman tibi (jarang positif)

- Ujian kulit tuberculin (mantoux) negatif

- Tibi ekstrapulmonari biasa berlaku

Rawatan

Rawatan tibi bagi pesakit HIV tiada perbezaannya jika dibandingkan dengan individu sihat yang lain.

Perbezaannya cuma suntikan antibiotik streptomycin tidak digunakan untuk melindungi staf daripada bahaya tertusuk jarum.

Selain itu, jangka masa rawatan lebih panjang iaitu sekurang-kurangnya enam bulan kultur kahak telah negatif kuman tibi, atau satu tahun yang mana lebih lama.

Penekanan harus diberi kepada kaedah rawatan DOT (directly observed therapy) kerana kajian mendapati pesakit yang diberi rawatan DOT hidup lebih lama jika dibandingkan dengan mereka yang tidak diselia pengambilan ubatnya.

Adalah amat penting untuk tidak berputus asa ketika merawat seseorang pesakit HIV yang dijangkiti kerana penyakit tibi itu boleh sembuh jika dirawat dengan betul, walaupun di peringkat HIV yang teruk.

Kematian pesakit selalunya disebabkan oleh jangkitan oportunistik yang lain atau AIDS (acquired immunodeficiency syndrome).

Semua pesakit tibi dan HIV seharusnya menerima rawatan untuk HIV dengan ubat-ubat anti-virus HIV atau HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) sebagai penggalak daya tahan, memperlahankan perkembangan jangkitan HIV kepada AIDS, seterusnya meningkatkan peluang hidup dan jangka hayat pesakit.

Tibi adalah jangkitan oportunistik yang paling biasa di kalangan pesakit yang dijangkiti virus HIV. Pembawa virus HIV juga lebih mudah dijangkiti Tibi berbanding individu lain yang sihat.

Virus HIV melemahkan sistem daya tahan seseorang dan mendedahkannya kepada segala jenis jangkitan kuman.

Penyakit tibi di kalangan pembawa HIV bagaimanapun boleh dan perlu dirawat pada mana-mana peringkat jangkitan tibi.

Kesan dan kebarangkalian rawatan berjaya juga lebih tinggi jika pesakit diselia pengambilan ubatannya melalui kaedah DOT.

Artikel ini disediakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penempatan awal di Bukit Bunuh

0 comments


PULAU PINANG 29 Jan. - Pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membuktikan penempatan awal manusia wujud di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak iaitu kira-kira 1.83 juta tahun dahulu.

Ini berdasarkan penemuan artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan iaitu pisau yang melekat pada batuan oleh sekumpulan penyelidik USM di kawasan tersebut pada Jun tahun lalu.


DZULKIFLI Abdul Razak (kanan) bersama Mokhtar Saidin menunjukkan artifak batu yang ditemui di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM, Prof. Madya Dr. Mokhtar Saidin berkata, pengesahan tarikh batu dibuat melalui kaedah kesan belahan oleh makmal geokronologi di Tokyo, Jepun selama tiga bulan.

''Pada dua minggu lepas, kami menerima pengesahan daripada makmal itu bahawa artifak tersebut wujud pada tarikh sekitar 1.83 juta tahun sekali gus menolak teori Movius Line yang mengatakan tidak wujud alatan tersebut di rantau ini.

''Tarikh itu juga membuktikan alatan kapak genggam itu terlebih dahulu wujud di negara ini berbanding penemuan pertama yang direkodkan wujud di Olduvaigeorge, Tanzania di Afrika sekitar 1.6 juta tahun dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas mengumumkan penemuan terbaru itu yang dipengerusikan oleh Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di sini hari ini.

Penyelidikan yang dikenali sebagai Kajian Kuartenari Hulu Perak dan Sabah Timur di kawasan itu bermula pada tahun 2000 dan mereka berjaya menemui bukti kewujudan kebudayaan Paleolitik berusia 40,000 tahun pada tahun 2003.

Turut ditemui, bukti jatuhan meteorit yang menyebabkan batuan asal melebur dan membentuk batuan baru iaitu suevit dan bukti impak meteorit ditunjukkan dengan hasil penemuan batuan kuarza, anomali geofizik dan geomorfologi kawah.

Pada tahun lalu pula, para penyelidik itu berjaya menemui artifak alat batu seperti kapak genggam dan alat repehan di dalam batu suevit, batuan yang wujud akibat hentaman meteorit sebelum dihantar ke Jepun untuk pentarikhan.

Mokhtar berkata, hasil penemuan itu juga memberi bukti baru terhadap bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu.

''Manusia terawal di dunia yang dikenali sebagai Homohabilis telah dibuktikan wujud di Afrika pada 2 juta tahun dahulu menakala kumpulan manusia terawal keluar dari negara itu yang dikenali Homoerectus telah ditemui di Georgia.

''Jadi, dengan penemuan itu, sudah jelas kumpulan manusia Homoerectus sudah wujud di Bukit Bunuh sebelum ia bertapak di Dmanisi di Georgia (1.8 juta) Sangiran di Jawa Indonesia (1.2 - 1.7 juta) dan Yuanmou dan Longgupo di China (1.7 - 1.8 juta) seperti yang direkodkan," ujarnya.

Beliau berkata, penemuan batu suevit yang pertama seumpama itu di rantau Asia Tenggara ini juga tidak menolak kemungkinan manusia awal yang wujud di Sangiran di Jawa, Indonesia berasal dari Bukit Bunuh yang berpindah ekoran kemusnahan oleh impak meteorit.

Dalam pada itu, Mokhtar memberitahu, hasil penemuan itu juga telah ditunjukkan dua orang pakar arkeologi dari Universiti Oxford di United Kingdom dan Universiti Pensylvinia di Amerika Syarikat baru-baru ini.

''Kita juga sedang giat mencari bukti lain seperti tulang atau gigi manusia di kawasan tersebut bagi mengesahkan asal-usul manusia yang memulakan penempatan di situ sekali gus mencari lebih banyak bukti.

''Saya juga bercadang untuk memuatkan semua hasil penemuan yang memberi impak kepada dunia ini dalam sebuah jurnal tidak lama lagi bagi membolehkan ia menjadi rujukan kepada generasi akan datang," jelasnya.

Kemurungan beri kesan kehidupan remaja

0 comments

KEMURUNGAN adalah penyakit yang cukup berbahaya. Ia mampu menyongsangkan perspektif normal seseorang sehingga mengakibatkan perubahan tingkah laku dan akhirnya mencederakan diri sendiri atau lebih teruk lagi - bunuh diri.

Kini penyakit tersebut bukan sahaja merangkumi golongan dewasa malah turut melanda remaja atas pelbagai sebab antaranya, tekanan persekitaran, peperiksaan, masalah keluarga atau dengan rakan-rakan di sekolah.

Sesetengah orang berpendapat bahawa kemurungan remaja hanyalah sekadar perubahan angin dan sikap melankolik yang sesekali melanda golongan ini.

Sebaliknya, kemurungan atau depresi merupakan masalah serius yang memberi impak kepada setiap aspek kehidupan remaja berkenaan.

Jika dibiarkan tanpa rawatan ia mampu menimbulkan masalah lebih besar di rumah dan sekolah. Lebih tragik lagi jika remaja itu terlibat dengan dadah, membenci diri sendiri, bertindak ganas dan akhirnya membunuh diri.

Walaubagaimanapun, penyakit tersebut boleh dirawat dengan bantuan ibu bapa, guru atau rakan yang paling rapat dengan mereka.

Dekan Jabatan Psikiatri dan Psikoterapi Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain berkata, meskipun agar sukar dikesan, namun ibu bapa sebagai orang paling hampir dengan pesakit harus mengenal pasti simptom kemurungan pada anak mereka.

''Antara perubahan ketara yang mungkin boleh dikenal pasti adalah perbezaan sikapnya yang menjadi ganas, mengambil dadah, mengunjungi kelab atau perkara yang membahayakan diri mereka.

''Sebaliknya simptom juga boleh datang tanpa disedari iaitu apabila pesakit menyembunyikan perasaan sebenar, menyendiri, hilang minat bersosial dan sebagainya,'' jelas beliau.

Ramai terlupa betapa sukarnya zaman remaja apabila terpaksa mengimbangkan antara keprihatinan dan keakraban hubungan sesama rakan, kejayaan akademik, kurikulum dan pembangunan jati diri yang kukuh serta bermoral.

Oleh itu, sesekali menunjukkan muka masam atau perangai adalah normal tetapi kemurungan mampu merosakkan personaliti remaja dan menimbulkan perasaan sedih, kecewa atau marah yang amat sangat.

Tidak seperti golongan dewasa yang mampu mendapatkan bantuan dengan sendiri, remaja biasanya terpaksa bergantung kepada ibu bapa, guru atau penjaga mereka untuk mengenal pasti penyakit yang dihadapi serta mendapatkan rawatan diperlukan.

Justeru, jika anda mempunyai remaja dalam hidup anda adalah penting untuk mengenal pasti tanda-tanda kemurungan ini dan apa yang perlu dilakukan sekiranya menemui simptom tersebut.

Simptom kemurungan remaja

Golongan remaja mengalami pelbagai jenis tekanan termasuk perubahan fizikal akibat akil baligh, mengenal pasti identiti diri sendiri dan kelompok sosial mana paling sesuai dengan mereka.

Transisi semula jadi ini bagaimanapun mampu menimbulkan konflik keibubapaan apabila remaja mula menyedari dan menuntut hak untuk bebas.

Disebabkan 'drama' ini juga adalah sukar untuk membezakan antara kemurungan dan perubahan angin remaja yang normal. Lebih menyukarkan keadaan, remaja yang murung tidak selalunya kelihatan sedih atau sentiasa menyendiri.

Bagi sesetengah remaja murung lain pula, mereka bertindak agresif, cepat marah, panas baran dan sering terbabit dalam pergaduhan.

Tanda-tanda amaran

Sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan terhadap kes membunuh diri atau cubaan membunuh diri di kalangan remaja yang mengalami kemurungan kronik.

Namun mereka yang terbabit dalam salah guna alkohol atau dadah lebih berisiko membunuh diri berbanding pesakit yang tidak bergantung kepada bahan tersebut.

Disebabkan timbul kemungkinan pesakit akan membunuh diri, remaja murung perlu sentiasa dipantau untuk sebarang tanda-tanda berikut seperti;

lBercakap atau bergurau mengenai hendak membunuh diri seperti ''Lebih baik aku mati", Alangkah bagusnya jika aku hilang selama-lamanya", atau "Sudah tiada jalan keluar lagi.''

lBercakap secara positif mengenai kematian atau berangan-angan mengenai mati. Contoh: ''Jika aku mati, orang akan lebih sayang padaku.''

lMenulis cerita atau puisi mengenai kematian atau membunuh diri.

lTerbabit dalam tingkah laku semberono atau sering cedera kemalangan.

lMemberi barangan peribadi paling berharga kepada orang lain.

lMengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan atau keluarga seolah-olah akan berpisah selamanya.

lMencari senjata, pil atau sebarang cara untuk membunuh diri.

Kesan antioksidan badam

0 comments

Memakan badam dapat menurunkan paras dua bio penanda bagi kesan tekanan oksidatif dalam sekumpulan sukarelawan 27 lelaki dan wanita yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Kajian yang dijalankan oleh saintis yang dibiayai oleh Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS), Lembaga Badam California dan Badan Pembiayaan Penyelidikan Kanada.

Pengarah Makmal Penyelidikan Anti Oksidan, Jeffrey Blumberg di Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia bagi Penuaan Jean Mayer Jabatan Pertanjan Amerika Syarikat (USDA) di Universiti Tufts, Boston, Mass melaporkan penemuan kajiannya dalam Journal Of Nutrition.

Saintis telah menganalisis sampel darah dan air kencing daripada subjek yang mengambil rawatan diet berlainan yang mempunyai kandungan kalori yang sama selama sebulan.

Rawatan berkenaan terdiri daripada dos penuh badam sebanyak 73 gram sehari, separuh dos badam bersama separuh dos mufin dan dos mufin penuh sebagai kawalan.

Subjek berkenaan mengambil diet lain yang rendah lemak bagi menurunkan berat badan dan mengikuti rutin senaman biasa semasa kajian.

Kajian berkenaan bagi membantu penyelidik mengkaji kesan antioksidan apabila memakan badam.

Penyelidik mendapati sukarelawan yang memakan dos penuh badam, kepekatan dua bio penanda tekanan oksidatif - plasma malondialdehyde (MDA) dan urin isoprostanes adalah rendah.

MDA menurun sehingga 19 peratus dalam kumpulan yang mengambil dos penuh badam berbanding pada mula kajian.

Isoprostane menurun sehingga 27 peratus dalam kedua-dua kumpulan badam dibandingkan dengan kumpulan kawalan.

Kajian berkenaan dilihat dapat membantu kesan antioksidan apabila memakan badam dan kajian seterusnya menunjukkan kesan Vitamin E dan terbitan polipenolik seperti flavonoid yang ditemui dalam badam dan pokok kekacang lain.

Kajian berkenaan tidak menunjukkan kandungan minimum diet badam yang membantu memberikan kesan secara biologi.

Owen cedera lagi

0 comments

LONDON - Penyerang Newcastle United, Michael Owen terpaksa berehat panjang selepas cedera pergelangan kaki ketika perlawanan menentang Manchester City dengan kekalahan 1-2, kelmarin.

Owen terpaksa keluar padang selepas 19 minit perlawanan dan menjalani imbasan, semalam untuk melihat tahap kecederaan.

"Michael perlu menggunakan topang ketiak untuk keselamatannya dan esok dia akan menjalani imbasan," ujar pengurus Newcastle, Joe Kinnear kepada laman web kelab (www.nufc.premiumtv.co.uk) kelmarin.

Keadaan bertambah buruk buat Newcastle apabila pemain tengah, Joey Barton turut mengalami kecederaan buku lali.

"Joey telah membuat imbasan, dia tidak pasti sama ada buku lalinya retak atau tidak. Katanya dia rasa ada sesuatu yang retak di buku lali kanannya.

"Kedua-duanya Michael dan Joey tidak boleh bermain kerana kecederaan itu," ujar Kinnear. - Reuters.

Pandangan peminat bola sepak tempatan

0 comments

CERITA kegagalan bola sepak negara bukanlah satu cerita baru.

Bola sepak terus mengalami zaman kesuraman. Sentuhan pemain sekarang tidak lagi sehebat Allahyarham Mokhtar Dahari atau pun Datuk Soh Chin Aun.

Ada yang meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merombak pemain dan menukar pengurusan baru.

Para peminat terus terdesak untuk melihat kegemilangan bola sepak negara sesuai dengan gelaran? Harimau Malaya?

Malangnya, ngauman harimau ini tidak segarang dulu. Langkahnya sudah sumbang dan tidak lincah lagi. Berikut terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan mutu bola sepak negara

Hamas tolak syarat gencatan senjata Israel

0 comments

BEIRUT 29 Jan. – Pemimpin Hamas yang hidup dalam buangan di Damsyik, Khaled Meshaal (gambar) semalam menolak syarat Israel untuk mengadakan gencatan senjata jangka panjang dengan pergerakan pejuang Palestin itu.

Khaled berkata, Hamas tidak akan menerima syarat Israel yang akan membuka pintu sempadan ke Genting Gaza hanya selepas Hamas membebaskan seorang askar Israel yang ditawan oleh pejuang Palestin di Gaza pada Jun 2006.

“Kami dimaklumkan baru-baru ini tentang syarat- syarat Israel untuk mewujudkan gencatan senjata.

I MANGSA KEZALIMAN ZIONIS...
Dua kanak-kanak Palestin yang cedera parah
dalam serangan terbaru tentera Israel di Khan Younis,
Gaza dirawat di hospital bandar itu, semalam. – AFP

“Kami menolak syarat-syarat itu dan sama sekali tidak akan menerimanya,” kata Khaled.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert awal semalam berkata, pintu sempadan Gaza “akan dibuka secara tetap” hanya selepas Sarjan Gilad Schalit dibebaskan.

Khaled mengulangi pendirian Hamas bahawa beribu-ribu tahanan Palestin hendaklah dibebaskan dari penjara Israel sebagai pertukaran dengan Schalit.

Hamas enggan mengaitkan pembebasan askar Israel itu dengan pembukaan semula pintu sempadan.

“Sebagai jawapan kepada pembunuh kanak-kanak bernama Olmert, saya dengan nama Hamas dan wira-wira yang menahan Schalit ingin menegaskan bahawa kami tidak akan menerima pembebasan Schalit sebagai syarat pembukaan sempadan,” kata Khaled.

Schalit ditawan dalam satu serangan oleh pejuang Palestin yang bersekutu dengan Hamas ke atas sebuah pos sempadan yang dikawal oleh unit kereta kebal Israel. – AP

Thursday 29 January 2009

Upah ceramah Clinton RM21 juta

0 comments

WASHINGTON 28 Jan. – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton memperoleh hampir AS$6 juta (RM21 juta) sebagai bayaran ceramah tahun lepas, kebanyakannya dibayar oleh syarikat asing termasuk di Malaysia.

Pendapatan tersebut dinyatakan dalam dokumen kewangan yang difailkan oleh isteri beliau, Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton.

Dokumen yang diperoleh AP semalam menunjukkan bayaran tertinggi yang diterima daripada sumber asing berjumlah AS$1.25 juta (RM4.38 juta) kerana hadir pada lima acara anjuran Power Within Inc., sebuah syarikat Toronto - AP

Israel bedil terowong Palestin

0 comments

GAZA 28 Jan. – Sebuah pesawat perang Israel awal hari ini, membedil beberapa terowong yang digunakan oleh rakyat Palestin untuk menyeludup barang keperluan dan senjata di sempadan Genting Gaza dengan Mesir.

Seorang lelaki Palestin memeriksa terowong yang menghubungkan Genting Gaza dengan Mesir selepas serangan udara tentera Israel di kem pelarian Rafah di selatan Gaza, semalam manakala gambar kecil, lelaki itu turun ke dalam terowong.

Serangan tersebut dilancarkan hanya beberapa jam sebelum duta khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell dijadual tiba di negara Yahudi itu.

Penduduk Palestin di pekan Rafah, Genting Gaza dan pegawai keselamatan Hamas berkata, sebilangan penduduk mula meninggalkan rumah mereka dalam ketakutan apabila pesawat berkenaan melancarkan tiga serangan sebelum subuh.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Seorang jurucakap tentera Israel mengesahkan, Israel melancarkan serangan udara ke atas terowong penyeludupan di Rafah.

Bedilan itu sebagai membalas serangan pejuang Palestin di Gaza ke atas sebuah kenderaan tentera Israel semalam, kata jurucakap itu.

Dalam serangan semalam, seorang askar Yahudi maut dan tiga yang lain cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terkena serangan bom.

Ekoran itu, Israel segera melancarkan serangan udara yang membunuh seorang lelaki Palestin yang bermotosikal dan didakwa oleh tentera Israel sebagai perancang letupan bom tepi jalan itu tetapi menurut sumber Palestin, lelaki itu hanyalah seorang petani.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert malam tadi berkata, pembunuhan lelaki bermotosikal itu hanyalah reaksi awal dan Israel akan melancarkan tindakan balas sepenuhnya tidak lama lagi.

Insiden berbalas-balas serangan semalam, adalah yang pertama sejak Hamas dan Israel mengisytiharkan gencatan senjata berasingan pada awal bulan ini berikutan serangan rejim Zionis selama 23 hari ke atas Genting Gaza. – Reuters