Thursday 26 February 2009

Malaysia, London rapatkan kewangan Islam

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Malaysia dan London boleh membuka jalan ke arah merapatkan pasaran kewangan Islam antara Timur dan Barat, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, krisis kewangan global menunjukkan beberapa kelemahan struktur dan ketidakseimbangan dalam sistem kewangan antarabangsa.

"Ketika kewangan Islam tidak terjejas daripada kesan persekitaran semasa, prinsip dan nilai Syariah yang mendokong kewangan Islam menyediakan asas yang penting," kata Zeti.

"Ini diperkemaskan lagi dengan pengukuhan infrastruktur kewangan, regim kawal aturan, kawal selia dan kerangka kerja perundangan serta kemampuan pengurusan krisis," kata beliau pada Sidang Kemuncak Tahunan Kewangan Islam Euromoney Kelapan mengenai Kewangan Islam dan Kestabilan Kewangan Global yang berlangsung dua hari bermula semalam di London.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini.

"Semasa kita meredah persekitaran ekonomi semasa dan bersedia untuk kitaran pertumbuhan seterusnya, telah tiba masanya juga untuk meneroka potensi sinergi yang boleh dioptimumkan antara London, pusat kewangan antarabangsa dan Malaysia, pusat kewangan Islam antarabangsa.

"Dan dengan berbuat demikian, memanfaatkan kelebihan perbandingan masing-masing dengan itu mengukuhkan hubungan antara pasaran kewangan Islam terutama antara Timur dan Barat," kata beliau.

Zeti berkata, dengan jumlah aset kewangan Islam global dianggarkan sebanyak AS$700 bilion (RM2.52 trilion) pada 2007, industri kewangan Islam menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang kompleks dan canggih.

Memandangkan ia menjadi sebahagian proses globalisasi kewangan, kewangan Islam bagaimanapun menjadi semakin terdedah kepada implikasi sistemik pembangunan luar, kata Zeti.

"Dua isu menjadi kepentingan. Pertamanya perkembangan kewangan Islam, potensinya untuk kestabilan kewangan mampan dan keduanya bagaimana kukuh industri terhadap pengaruh luar. Dalam hal ini, terdapat beberapa potensi bidang kerjasama," kata beliau.

Dalam bidang pengurusan mudah tunai, Malaysia mempunyai pasaran wang yang kukuh dan berdaya maju, kata gabenor itu.

Beliau berkata, jenis instrumen pasaran wang Islam boleh menjadi platform yang berdaya maju ke arah pembangunan pasaran mata wang dua pihak.

Dengan infrastruktur Islam Malaysia dan capaian global London, satu pasaran mata wang Islam antarabangsa boleh berkembang secara bersama dan berpotensi untuk dimajukan di mana pusat kewangan lain boleh mengambil bahagian dan memanfaatkannya dengan saling penyambungan yang maju, kata Zeti.

Dalam jangka masa segera, ia boleh memberikan kelebihan kepada institusi kewangan Islam di United Kingdom dan Malaysia untuk menguruskan keperluan pengurusan mudah tunai mereka, katanya.

Dalam sukuk pula, Malaysia mempunyai pasaran sukuk terbesar manakala London merupakan antara bursa paling kukuh. Dengan itu bidang potensi kerjasama adalah dalam penyenaraian silang sukuk, kata Zeti.

"Menyediakan mekanisme yang sesuai untuk sukuk diterbitkan dalam satu bidang kuasa yang akan diiktiraf oleh yang satu lagi akan mempunyai kesan kepada akses pasaran, dengan itu membolehkan capaian penerbit dan pelabur yang lebih luas.

"Tambahan pula, pengiktirafan bersama boleh menjadi tambahan kepada semua produk kewangan Islam telah diluluskan dalam bidang kuasa masing-masing bagi memudahkan transaksi rentas sempadan yang lebih luas," katanya.

Zeti berkata, dalam bidang pembangunan bakat, Malaysia mempunyai sejumlah institusi pengajian yang menyediakan pendidikan dan latihan kewangan Islam.

"UK sebaliknya telah lama dikaitkan dengan pendidikan berkualiti. Perkongsian dalam bidang ini telah diterokai.

"Ketersediaan kumpulan bakat mahir dalam kewangan Islam merupakan unsur teras untuk menyokong inovasi berterusan dan mengekalkan keaktifan sistem kewangan Islam," kata beliau semasa merujuk kepada program bersama antara University of Reading dan Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) di Malaysia.

No comments:

Post a Comment