KUALA LUMPUR 25 Feb - Ringgit mengakhiri dagangan pada paras lebih rendah berbanding dolar AS hari ini menjelang pengumuman data-data keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku keempat 2008, Jumaat ini, kata peniaga.
Pada pukul 5 petang, ringgit turun sedikit berbanding mata wang Amerika itu pada 3.6650/6700 daripada 3.6610/6660 semalam.
"Pelabur masih berhati-hati terhadap kelembapan ekonomi dan kebanyakan mereka memilih untuk berada di luar pasaran sementara menunggu pengumuman KDNK dan sama ada ramalan pertumbuhan 3.5 yang dibuat dahulu akan disemak semula," kata seorang peniaga.
Beliau berkata keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman sebanyak 50 mata asas lagi kepada 2.0 peratus semalam juga sedikit sebanyak melemahkan sentimen pasaran.
Dalam sesi dagangan lewat hari ini, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain. Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 2.3998/3053 berbanding 2.3950/3992 pada penutupan semalam, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7795/7851 daripada 3.8395/8435 semalam.
Unit tempatan itu lebih rendah berbanding euro pada 4.7117/7193 daripada 4.6678/6727 semalam dan turun berbanding pound sterling kepada 5.3414/3498 daripda 5.3117/3172 sebelumnya. - Bernama
Thursday, 26 February 2009
Ringgit terus rendah
Labels: Business
Ekonomi dibimbangi meleset - OSK
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) semalam, merupakan petunjuk penting yang menggambarkan bahawa kegawatan ekonomi global semakin meruncing.
Penganalisis OSK Research, Loke Siew Ting berkata, kegawatan itu kini mulai memberikan kesan serius kepada perkembangan ekonomi negara.
Menurut beliau, petunjuk termasuk Indeks Pengeluaran Industri merosot 15.5 peratus pada Disember lalu, melebihi paras kejatuhan pada 1998.
Sementara itu, eksport kasar juga menyaksikan kejatuhan terbesar sejak Februari 2002 sebanyak 14.9 peratus pada tempoh yang sama.
Sentimen pengguna dan perniagaan, masing-masing merosot kepada 71.4 dan 53.8 pada suku keempat 2008.
''Kesemua faktor berkenaan telah menyebabkan peningkatan risiko dalam penurunan pertumbuhan ekonomi pada 2009, yang dijangka memaksa kerajaan untuk mengambil langkah agresif dan menurunkan kadar faedah sebagai pelindung kepada kemelesetan ekonomi pada tahun ini,'' katanya dalam nota penyelidikannya di sini.
Sementara itu, penganalisis Chris Eng berkata, perkembangan yang membawa kepada pengurangan kadar faedah secara agresif oleh BNM dan dasaran makroekonomi semakin membimbangkan, OSK Research berpendapat Malaysia akan mengalami kemelesetan pada tahun ini.
''Penurunan kadar faedah akan menyebabkan berlaku aliran keluaran pelaburan asing ke negara lain yang memberi pulangan lebih tinggi seperti China yang menawarkan kadar faedah sebanyak 5.3 peratus dan India enam peratus,'' katanya.
Unjuran pasaran buruh yang suram juga melembapkan sentimen pengguna dan permintaan pelanggan akan menyebabkan para pengeluar terus mengurangkan pelaburan dan pengeluaran, sekali gus menjejaskan pertumbuhan perbelanjaan swasta, tambah beliau.
Malah, kemelesetan ekonomi yang berlanjutan di negara-negara membangunkan juga akan memberi kesan kepada kegiatan eksport yang diterajui oleh industri elektrik dan elektronik.
''OSK Research akan menunggu pengumuman prestasi suku keempat 2008 pada Jumaat ini dan pengumuman bajet mini pada 10 Mac untuk butiran lanjut mengenai pertumbuhan bagi sektor pembinaan, perkhidmatan dan segmen perbelanjaan pengguna.
Berikutan itu, firma itu telah menyemak semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2008 kepada lima peratus.
Labels: Business
Sunday, 22 February 2009
Operasi dengan sentuhan
Telefon bimbit yang mampu memberi kepuasan kepada pemiliknya.
Ada kalanya tentu anda terfikir apakah gajet menarik yang boleh dijadikan hadiah dalam bulan Februari ini.
Apa kata kalau menjengah seketika dan melihat telefon bimbit HTC Touch 3G yang mempunyai dua warna menarik Noble Gold dan Modern Brown.
HTC Touch 3G menggunakan teknologi TouchFLO generasi akan datang amat selesa dalam genggaman selain operasinya hanya menggunakan sentuhan bagi melihat alamat, media dan Internet dengan kelajuan dan ketepatan.
Selain itu pengguna juga boleh mengalami sendiri imej sebenar di skrin sensitif sentuhan 2.8 inci resolusi QVGA atau berubah ke Touch 3G dengan Windows Mobile 6.1 Professional bagi memudahkan membaca dan menyemak e-mel dan dokumen.
Kualiti rakaman gambar pegun atau video menggunakan kamera 3.2 megapiksel tidak dipertikaikan selain terdapat ruang slot microSD yang boleh menyimpan sehingga 16GB.
Anda juga boleh berhubung dengan dunia maya menggunakan Wi-Fi terbina dalam dan menerima laman web menggunakan jalur lebar 3.5G dengan kelajuan 18 kali lebih cepat berbanding 3G.
Selain itu pengguna boleh melayari laman web dalam skrin penuh, menonton video YouTube, mendapatkan arah perjalanan menggunakan navigasi GPS dan sentiasa dikemaskini dengan RSS bersepadu.
HTC Touch 3G dengan dua warna menarik telah berada di pasaran dengan harga runcit RM1,999.
Details berikutnya sila layari di :
Labels: Sains n Teknologi
Serangan virus CurseSMS ke telefon bimbit
AWAS pemilik telefon bimbit kerana terdapat virus yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS) berleluasa sekarang dikenali sebagai Curse of Silence atau CurseSMS.
Virus ini akan membawa kepada serangan penafian servis dan ia ditemui baru-baru ini oleh Tobias Engel dan didedahkan pada Chaos Communication Congress ke-25.
Serangan ini melibatkan SMS yang dicipta dengan niat untuk dihantar kepada sasaran berpotensi.
Penerimaan SMS tersebut menyebabkan peranti yang menjadi sasaran tidak lagi dapat menerima mesej SMS atau MMS.
Bergantung kepada versi sistem operasi telefon mudah alih yang menjadi sasaran, peranti tersebut mungkin memerlukan pelarasan semula di kilang untuk berfungsi seperti sedia kala.
Bagaimanapun, Fortinet baru-baru ini mengumumkan bahawa Pasukan Penyelidikan Keselamatan Sedunia FortiGuard telah mengeluarkan versi baru peralatan FortiCleanUp untuk membantu para pengguna pulih daripada serangan virus itu.
FortiCleanUp merupakan siri peralatan percuma yang beroperasi dalam telefon mudah alih yang dikuasakan oleh SymbianOS S60 dan direka bentuk untuk menyingkir dan memulihkan peranti dari 'perisian jahat' tertentu dan perisian lain yang berkaitan.
Fortinet menyediakan lesen percuma kepada peralatan baru FortiCleanUp yang membantu memulihkan telefon bimbit yang diserang oleh CurseSMS itu.
Peralatan FortiCleanUp untuk Curse of Silence akan mengimbas secara automatik dan menyingkirkan mesej SMS atau MMS berniat jahat yang menghalang telefon bimbit tersebut untuk beroperasi dengan baik.
Peranti yang mudah terdedah kepada serangan ini termasuklah telefon mudah alih Nokia yang menggunakan SymbianOS S60 Edisi kedua dengan Feature Pack 2 dan 3, Edisi ketiga, serta Edisi ketiga dengan Feature Pack 1.
Ini termasuk telefon bimbit lain dari siri 'N' hingga N95 dan dari siri 'E' hingga E90, selain dari model-model yang lebih lama seperti 6680.
Untuk perlindungan lengkap yang sebenar, pasukan FortiGuard mengesyorkan pemasangan FortiClient Mobile Fortinet ke peranti-peranti telefon bimbit.
Perisian keselamatan ini menyediakan ciri agen keselamatan bersepadu termasuk firewall peribadi, IPSec VPN, antivirus, antispyware dan anti-spam SMS.
Agen perlindungan FortiClient dipekuasa dengan langganan servis keselamatan FortiGuard untuk membantu melindungi peranti-peranti dari ancaman bersepadu terkini.
FortiClient Mobile menyediakan timbang ringan, ciri agen keselamatan bersepadu dan kini disediakan untuk Microsoft Windows Mobile dan sistem operasi SymbianOS S60.
Untuk maklumat selanjutnya bagi khidmat nasihat ini atau senarai lengkap telefon bimbit Nokia yang disasarkan oleh Curse of Silence / CurseSMS, sila layari:
Labels: Sains n Teknologi
Telefon mewah dari Motorola
SANGGUPKAH anda membelanjakan sehingga AS$2,000 (RM7,316) untuk sebuah telefon bimbit?
Aura, produk terbaru daripada Motorola bukan sekadar telefon bimbit pertama di dunia yang mempunyai paparan membulat, malah lensanya adalah kristal nilam atau sapphire Gred 1 sebanyak 62 karat.
Dengan jaminan kalis calar dan karat, Aura turut terletak di dalam kelas tersendiri memandangkan bearing utamanya adalah buatan Swiss, serta dilengkapi dengan lapisan pelindung PVD serta gilapan cermin sama seperti jam mewah terbaik.
Lebih menarik ia dibina daripada 700 komponen individu dan setiap telefon bimbit dikatakan mengambil masa sehingga dua minggu untuk disiapkan.
Ia juga mempunyai teknologi paparan warna sebanyak 16 juta warna dengan ketajaman beresolusi 300 ppi, teknologi CrystalTalk dan stereo Bluetooth melengkapkan Aura sebagai simbol kemewahan.
Bagaimanapun, telefon ini belum dipasarkan di Malaysia.
Labels: Sains n Teknologi
